Oleh MOHD AZLI ADLAN
BESUT – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif menganjurkan program Jualan Ihsan Madani yang menawarkan barangan keperluan pada harga murah bagi membantu mangsa banjir terjejas.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, penduduk yang baru pulih daripada banjir tersebut boleh mendapatkan barangan keperluan seperti ayam, daging lembu, telur ayam, ikan, roti dan sayur pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
“Program Jualan Ihsan Madani tersebut dimulakan di Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh yang merupakan satu-satu pasar tani terjejas banjir kali ini sebelum akan diperluas ke kawasan lain.
“Ia tanda keprihatinan FAMA sewaktu kebanyakan pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup,” katanya selepas memantau program Jualan Ihsan Madani di PTK Nyiur Tujuh di sini hari ini.
Aminuddin berkata, FAMA juga mengagihkan bakul percuma yang mengandungi sayur dan ayam kepada 100 mangsa banjir terkesan pada program sama.
Selain itu, beliau berkata, Kombo Ihsan Madani yang mengandungi separuh ekor ayam, bihun, bawang besar dan guna juga ditawarkan pada harga cuma RM10 kepada pengguna.
Sementara itu, Aminuddin berkata, usahawan-usahawan FAMA terutama di Lembah Klang juga bermurah hati menyumbang barangan makanan kering bernilai RM15,000 keseluruhan
kepada mangsa banjir di Terengganu.
Beliau berkata, sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk pengagihan. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment