Translate

Thursday, December 5, 2024

Bomba guna dron pantau banjir Pantai Timur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memanfaatkan kemudahan dron bagi memantau situasi banjir dan paras air sungai di kawasan berisiko bah di Terengganu sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pengarah Bahagian Udara JBPM, Datuk Norazam Khamis berkata, dua unit dron yang dikendalikan dua pegawai bomba bertauliah akan digunakan bagi tugasan pemantauan tersebut.

Beliau berkata, dua unit dron berkenaan telah ditempatkan di Pengkalan Operasi Hadapan (FOB) Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini.

“Selain helikopter, kita turut menggunakan teknologi dron bagi meluaskan kawasan pemantauan di kawasan berisiko banjir terutama di kawasan pedalaman.

“Penggunaan dron lebih efisien kerana ia boleh melakukan pemantauan udara situasi banjir di kawasan seluas 16 kilometer,” katanya di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas melakukan pemantauan udara menggunakan helikopter AW189 di kawasan terjejas banjir sekitar daerah ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Norazam memberitahu, aset helikopter juga telah ditempatkan di FOB Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur bagi penugasan bencana banjir di tiga negeri di Pantai Timur.

Beliau berkata, penggunaan helikopter terbabit juga akan digunakan untuk tugasan menyelamat, menghantar bantuan makanan dan perubatan kepada mangsa banjir.

“Setakat ini, kita tempatkan sebuah helikopter dahulu (di FOB Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur).

“Kita bersedia tambah sebuah lagi helikopter di Pantai Timur bergantung pada situasi banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment