Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seramai sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki diesel berjumlah 34,740.44 liter tanpa kebenaran di Kuala Paka, Dungun pada tahun lalu.
Mereka ialah Azni Zabar, 39, Mohd. Luqman Ramli, 31, Hasdi Mustapa, 43, Hasrul Azly Mustapa, 32, Mohamad Saufi Abdul Ghapa. 29, Mohd. Rozi Mohd. Zain, 38, Che Harun Mat Jusoh, 63, Hirool Farihan Hussin, 41, dan Abd. Mukmin A. Razak, 36.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Azmi dan Mohd. Luqman didakwa memiliki 3,992.56 liter diesel yang merupakan barang kawalan di sebuah stesen servis di Kuala Paka pada pukul 2 pagi, 6 Julai 2023.
Hasdi, Hasrul Azly, Mohamad Saufi dan Mohd. Rozi pula didakwa memiliki 1,677.1 liter diesel yang disimpan dalam tangki tambahan di sebuah stesen minyak di Kuala Paka pada pukul 1.55 pagi, 6 Julai 2023.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Hasdi didakwa bersama-sama Che Harun, Hirool Farihan dan Abd. Mukmin menyimpan 29,070.78 liter diesel dalam tangki simpanan sebuah lori.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pejabat syarikat logistik di Paka, Dungun pada 9.30 pagi, 6 Julai 2023.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(A)(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment