Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menangguhkan pelaksanaan hukuman sebatan terhadap seorang pesalah kes khalwat berulang yang sepatutnya dijalankan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penangguhan itu disebabkan permohonan semakan hukuman tersebut yang difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu kelmarin.
“Perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Permohonan semakan tersebut merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman (syariah),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Kosmo! 21 November lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memerintahkan Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga duda anak lima dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.
Hukuman sebatan tersebut pertama kali akan dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai di Terengganu kerana sebelum ini ia dilakukan secara tertutup.
Muhammad Khalil menegaskan penangguhan hukuman sebat terbabit merupakan prosedur biasa dan bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO). – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment