Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang ahli perniagaan berputih mata kerugian lebih RM5.22 juta apabila menjadi mangsa skim pelaburan palsu yang kononnnya berpengkalan di China.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pada mulanya lelaki warga emas itu tertarik dengan tawaran pelaburan saham tersebut yang dilihatnya di laman Facebook pada 1 September lalu.
“Mangsa yang berusia 67 tahun dijanjikan keuntungan singkat dengan urusan pelaburan saham di China tersebut diuruskan suspek.
“Dia kemudiannya membuat pembayaran pertama RM30,000 setelah memuat turun aplikasi pelaburan diarahkan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, mangsa yang teruja melihat keuntungan meningkat menerusi paparan aplikasi terbabit telah menambah dua lagi kali pelaburan berjumlah keseluruhan RM70,000.
Tambah beliau, pada peringkat awal, lelaki itu boleh mengeluarkan sebahagian keuntungan diperolehnya berjumlah RM89,800.
“Ia meningkatkan keyakinan mangsa sehingga terdorong menambah pelaburan lagi sebanyak RM240,000.
“Begitupun kali ini, dia diarahkan membuat pembayaran RM1 juta kononnya sebagai caj pembahagian keuntungan bagi membuat pengeluaran,” katanya.
Mohd. Khairi berkata, mangsa yang akur dengan arahan tersebut kemudiannya diminta pula membayar RM1,698,832.10 kononnya sebagai cukai atas keuntungan pelaburan saham tersebut.
Beliau berkata, lelaki warga emas itu juga membayar tambahan RM520,000 kononnya bagi siasatan Suruhanjaya Sekuriti.
“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila masih gagal memperolehi keuntungan diharapka. walaupun sudah memenuhi semua arahan suspek menerusi 13 transaksi di tujuh akaun bank berbeza,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment