PETALING JAYA – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).
Kelam kabut, alat tulis dan buku rujukan hilang selain mengulang kaji dalam keadaan bising tidak mematahkan semangat mereka untuk menduduki SPM yang bermula hari ini.
Di Setiu, Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata, dia mengulang kaji pelajaran di PPS SK Telaga Papan menggunakan telefon pintar kerana tidak sempat membawa buku rujukan ketika berpindah dari rumah nya di Perumahan Tabung Haji yang ditenggelami air kelmarin.
“Tak sangka air masuk rumah kerana tahun lepas kami tak kena banjir. Risau juga esok (hari ini) SPM tetapi saya tetap ulang kaji di kelas kosong di PPS ini.
“Buku rujukan dan nota peperiksaan disimpan di tempat tinggi di rumah. Sekolah ada tawarkan kemudahan asrama untuk calon SPM tetapi saya tidak mahu tinggalkan ibu selepas ayah meninggal dunia,” katanya.
Menurut Muhammad Aidil Adwa, dia berharap banjir cepat surut supaya dapat pulang untuk menduduki kertas peperiksaan yang bermula bulan depan.
Dia merupakan antara 5,377 calon SPM di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang terjejas akibat banjir kali ini.
Di Rantau Panjang, Nur Arina Mohd. Rozizi, 17, berkata, emosinya terjejas selepas dia bersama ibu bapa dan tiga adik beradiknya terperangkap selama lima hari tanpa menerima bantuan di dalam rumah di Kampung Gual Machang.
Katanya, kali terakhir dia mengulangkaji ialah Sabtu lalu sebelum gajetnya kehabisan bateri manakala bekalan elektrik terputus.
“Kami berhempas pulas menaiki bot melawan arus ke PPS SK Gual Tinggi sebelum naik trak tentera untuk dibawa ke asrama pusat peperiksaan.
Saya tidak bersedia kerana tidak banyak ulang kaji dan emosi terganggu,” katanya.
Menurut Nur Arina, seorang rakan baiknya di Lubok Stil yang juga calon SPM tidak dapat dihubungi.
“Saya tidak nampak dia di sini untuk naik trak. Saya tidak tahu nasibnya dan mungkin tidak ambil SPM. Saya harap dia muncul di saat akhir,” katanya.
Remaja itu merupakan salah seorang daripada 189 calon SPM dari SMK Rantau Panjang terjejas banjir yang dipindahkan ke tiga buah sekolah iaitu SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2 untuk menduduki peperiksaan hari ini.
Di Alor Setar, Muhammad Hazwan Norizan, 17, berkata, dia tidak sempat mengambil semua buku dan nota ulang kaji selepas rumahnya di Kampung Alor Ganu di Kepala Batas dimasuki air Khamis lalu.
“Saya hanya sempat ambil satu fail nota ulangkaji dan satu baju seragam sebelum berpindah ke rumah saudara di Lepai. Saya tidak dapat balik semula kerana air sangat dalam.
“Bagaimanapun, saya bersedia untuk SPM tetapi sedih kerana tidak cukup ulangkaji,” katanya ketika ditemui di asrama SMK Agama Kedah di sini.
Dalam pada itu, Muhammad Zairil Bahanordin, 17, dari Alor Gonchar mengakui kurang selesa apabila perlu mengulangkaji di PPS.
"Semua buku basah dan terpaksa pinjam dengan kawan. Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan. Gelisah hendak hadapi ujian bertutur esok (hari ini) tetapi saya akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Seri Gunong.
Nur Intan Aliesya Zamri dan Nur Hasmira Najwa Hasan turut mengulangkaji di PPS itu bersama rakan-rakannya.
“PPS bising kerana orang terlalu ramai tetapi apa boleh buat. Nanti kami akan dipindahkan ke asrama SMK Alor Janggus untuk lebih selesa dan dapat mengulangkaji dengan lebih teratur,” katanya.
No comments:
Post a Comment