Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, atas pertuduhan berasingan melakukan persediaan persetubuhan haram dan berkhalwat bersama pasangan masing-masing.
Mat Husin Sulaiman, 53, yang merupakan tukang urut dan pasangannya, Aslina Razali, 37, didenda RM4,500 atas kesalahan melakukan persediaan persetubuhan luar nikah oleh Hakim Syarie Mohd. Nazri Yusof.
Anak perempuannya, Nurul Hadhari, 20, dan pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, 20, didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000 oleh Hakim Syarie Hamidi Syafie atas kesalahan berkhalwat buat kali kedua.
Berdasarkan pertuduhan, Mat Husin dan Aslina didakwa melakukan persediaan persetubuhan luar nikah di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud di sini pukul 5.25 petang, 19 Mei lalu.
Mengikut fakta kes, Mat Husin berkain batik, manakala pasangannya yang masih isteri orang didapati bertuala sewaktu diserbu pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022).
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil Hakim pula didakwa berkhalwat buat kali kedua di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Batas Baru di sini, pukul 4.14 pagi, 18 Mac lalu.
Mengikut fakta kes, Che Mohammad Aidil Hakim bertindak melarikan diri dengan keluar dari tingkap bilik air sebelum terjun dari tingkat tiga rumah pangsapuri tersebut.
Mereka yang kini sudah bergelar suami isteri sejak Julai lalu didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022).
Sebelum ini, Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil ditangkap berkhalwat buat kali pertama di lokasi sama pada 1 Februari lalu.
Mereka yang masih bergelar pelajar kolej masing-masing didenda RM1,900 dan RM2,000 bagi kesalahan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 21 Oktober lalu.
Pendakwaan kes Mat Husin dan Aslina dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Taqwa Hasbu, manakala Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd. Shahril Irwan Mat Yusof pula mengendalikan kes Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil Hakim.
No comments:
Post a Comment