Translate

Wednesday, December 11, 2024

Hospital ‘simpan’ mayat bayi 16 hari bukan milik KMI Healthcare

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) tidak memiliki hospital swasta yang tular kerana didakwa menyimpan mayat bayi selama 16 hari dipercayai disebabkan bapanya tidak dapat menuntut ekoran kesempitan wang.

Jurucakap KMI Healthcare berkata,anak syarikat Kumpulan TDM Berhad tersebut masih belum memiliki dan mengendalikan operasi hospital swasta tersebut ekoran proses pengambilalihan yang masih belum selesai.

“Walaupun Perjanjian Jual Beli Saham telah ditandatangani pada 23 Oktober 2023, namun ia masih belum dimuktamadkan kerana beberapa duluan syarat belum dipenuhi.

“Sehingga transaksi (pengambilalihan) selesai, KMI Healthcare tidak mempunyai hak milik atau tanggungjawab terhadap hospital itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, jurucakap KMI Healthcare menegaskan syarikatnya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang isu operasi atau lain-lain berkaitan hospital swasta tersebut.

Terdahulu tular kisah satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.

Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

Nama KMI Healthcare turut diheret segelintir netizen yang mendakwa syarikat tersebut memiliki hospital swasta berkenaan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden berkenaan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment