Translate

Monday, December 30, 2024

9 korban bah gelombang pertama

KOTA BHARU – Lima nyawa menjadi korban dalam gelombang pertama banjir yang melanda Kelantan bermula sejak 27 November lalu. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian pertama berlaku pada Rabu lalu melibatkan seorang pemandu trak tunda berusia 33 tahun yang maut terkena renjatan elektrik semasa menutup suis mesin basuh di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh. 

Menurutnya, kejadian kedua melibatkan seorang warga emas berusia 64 tahun meninggal dunia ketika mengalihkan tiang gol di Machang sehari kemudian. 

“Seorang bayi lelaki menjadi korban banjir yang ketiga di Kelantan apabila ditemukan lemas selepas rumah keluarganya di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat di Tumpat dinaiki air pada Jumaat lalu. 

“Bayi yang berusia satu tahun sebulan itu dipercayai terjatuh ke dalam air banjir di tingkat bawah rumah keluarganya selepas bangun daripada tidur di tingkat atas kediaman tersebut kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya. 

Ujar beliau, kematian keempat dan kelima pula melibatkan dua warga emas dijumpai lemas semasa dalam perjalanan untuk memantau lembu dan kambing ternakan mereka dalam dua kejadian berasingan di Machang dekat sini, pada Ahad lalu. 

“Mangsa pertama, Shokarno Mahmood, 72, ditemukan lemas di dalam parit di Kampung Kuala Sat kira-kira pukul 8 pagi. 

“Mangsa kedua, Mat Salleh Yaacob, 78, pula dijumpai lemas rumah rakit bersebelahan kediamannya di Kampung Gelung Gajah pada 1 tengah hari,” katanya. 

Di Kuala Nerus, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 28 November lalu telah mengorbankan empat nyawa setakat ini 

Katanya, dua daripada mangsa maut akibat terjatuh dan dihanyutkan arus deras banjir, manakala dua lagi menjadi korban runtuhan tanah akibat pergerakan air hujan.

 “Mangsa terbaharu merupakan seorang anggota polis yang ditemui lemas di dalam ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun semalam (kelmarin). 

 “Mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Polapol) Dungun telah dihanyutkan arus deras sewaktu melalui laluan ditengelami banjir di ladang kelapa sawit tersebut dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu. 

“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya yang memasuki ladang kepala sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya tertinggal di dalam raga motosikal telah terkandas semalaman akibat banjir,” katanya di Pondok Polis Tepoh, Kuala Nerus semalam.

 Beliau ditemui sewaktu menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia Kontinjen Terengganu. 

 Mohd. Khairi berkata, mangsa banjir pertama di Terengganu ialah Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang lemas di Kampung Pinang, Besut pada 28 November lalu. 

 Ujarnya, pesara Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu terjatuh dari sampan sewaktu memukat ikan bersama dua rakan di kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir sedalam tiga meter. 

 “Dua lagi mangsa merupakan adik-beradik, Puteri Sajidah Azman, 16, dan Fatihah, 13, yang terkorban pada 29 November lalu. 

 “Mereka terperangkap di dalam rumah yang dihempap runtuhan tanah di Kampung Bukit Apil, Hulu Terengganu pada pukul 4.50 petang. 

“Saya berharap jumlah mangsa korban banjir di Terengganu ini tidak bertambah walaupun tempoh Monsun Timur Laut masih panjang,” katanya.

No comments:

Post a Comment