Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Terengganu kembali dilanda gelombang banjir seterusnya dengan beberapa kawasan di Kemaman mula ditenggelami air pada lewat malam tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, seramai 739 mangsa daripada 189 keluarga terpaksa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah tersebut.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik mempunyai paling ramai mangsa iaitu 264 orang daripada 76 keluarga.
“Seramai 149 mangsa daripada 34 keluarga pula telah berpindah ke PPS Dewan Sivik Pengkalan Cicar,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, PPS Balai Raya Meraga Beris pula sudah dihuni 98 mangsa daripada 24 keluarga.
Tambah beliau, seramai 79 mangsa daripada 20 keluarga kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol.
“Balai Raya Beris Nenas pula mempunyai 67 mangsa daripada 15 keluarga manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga berada di PPS SK Pengkalan Ranggon.
“Seramai 19 mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah ke PPS SK Kampung Baru Kerteh manakala lapan sekeluarga pula berada di PPS Balai Raya Kampung Gelugor,” katanya.
Sebelum ini, Kemaman dilanda banjir gelombang pertama pada 17 November dan kedua pada 26 November sebelum pulih sepenuhnya hampir seminggu lalu. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment