Translate

Saturday, December 24, 2022

Kelantan paling tinggi mangsa banjir

Oleh ROHANA MOHD. NAWI, MOHD. AZLI ADLAN dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

PETALING JAYA – Mangsa banjir di beberapa negeri meningkat berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin. 

Beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir tersebut

Di Pasir Mas, Kelantan, jumlah mangsa banjir di situ dan Rantau Panjang ketika ini seramai 1,769 orang daripada 547 keluarga meskipun hujan di kebanyakan kawasan di dua kawasan itu berhenti sejak semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, keadaan itu menyebabkan lima PPS dibuka di Rantau Panjang dan satu di Pasir Mas. 

Jelasnya, mengikut jangkaan, kemungkinan lebih ramai mangsa banjir akan dibawa ke PPS di daerah ini walaupun paras Sungai Golok menunjukkan penurunan iaitu 9.56 meter berbanding 9.66 meter semalam. 

“Sebanyak 10 buah kampung di Rantau Panjang dan Pasir Mas sudah ditenggelami air. 

Terbaharu, Kampung Serongga di Pasir Mas sudah dilanda bah setinggi 0.3 meter hingga 0.8 meter. “Kampung-kampung yang terjejas banjir itu hanya ditutup kepada kenderaan ringan, namun kenderaan berat masih boleh melalui kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pondok Polis Repek di sini di sini semalam. 

Sementara itu di Terengganu, hujan lebat yang berhenti sejak tengah hari semalam membolehkan situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan hanya 209 mangsa masih berada di PPS seluruh negeri itu. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini cuma enam PPS masih beroperasi di lima daerah.

 Beliau berkata, satu PPS kembali dibuka di Besut iaitu Balai Raya Kampung Pantai dengan menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga. 

“Kemaman juga semakin pulih dengan hanya 47 mangsa daripada 23 keluarga masih berada di PPS balai Raya Padang Kemunting. 

“Seramai 24 mangsa daripada tujuh keluarga masih ditempatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, Dungun,” katanya. 

Di Pahang pula, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 405 orang berbanding 573 orang sebelum ini selepas semua mangsa banjir di daerah Raub, Jerantut dan Lipis dibenarkan pulang semalam. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, pada masa ini hanya dua daerah masih merekodkan mangsa banjir iaitu di Temerloh dan Bera.

No comments:

Post a Comment