HULU TERENGGANU – Seorang wanita yang menghidap penyakit saraf dan diabetes kronik bergadai nyawa meredah arus deras bagi menyelamatkan diri daripada rumahnya yang sudah ditenggelami banjir kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Zurina Keteman, 43, berkata, dia hampir kekejangan kaki sewaktu meredah air sedalam lebih satu meter sejauh 500 meter berkenaan.
Membuatnya sayu, dia terpaksa meninggalkan suami, Mohd. Ramli Othman, 47, yang tidak mampu meredah banjir akibat penyakit gout kronik.
“Hujan lebat yang turun sejak pagi dan limpahan air Sungai Kemat berhampiran mula membanjiri rumah kami pada pukul 1 tengah hari.
“Pada mulanya saya berkira-kira untuk tidak berpindah keluar kerana masalah kesihatan saya dan suami, namun terpaksa juga disebabkan banjir semakin buruk pada pukul 3 petang,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Kemat di sini semalam.
Zurina berkata, dia menggagahkan diri meredah banjir sambil dipimpin dua anak anaknya yang berusia 10 dan 11 tahun menuju ke PPS untuk berlindung.
Katanya, dia risau dengan kebajikan suaminya yang ditinggal di rumah dan mereka sentiasa berhubung menerusi telefon bimbit.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Syamiah Wahab, 35, juga terpaksa mendukung anak perempuannya berusia enam tahun sewaktu mengharung banjir sedalam lebih satu meter.
Suri rumah itu berkata, sewaktu kejadian, suaminya tiada di rumah kerana sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kuala Nerus.
“Syukur kami anak-beranak selamat tiba di balai raya. Biarpun banjir mulai surut, kalau boleh saya mahu terus menetap di PPS ini sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini sebab jangkaan hujan lagi,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment