HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara terus meriah dengan kehadiran pengunjung walaupun pada musim tengkujuh.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahim berkata, berbanding rangkaian pulau peranginan di Terengganu, Tasik Kenyir tidak menutup operasi, malah terus menggamit kehadiran pengunjung pada Monsun Timur Laut.
Beliau berkata, permintaan terhadap perkhidmatan rumah bot termasuk tempahan bagi bulan Disember ini semakin meningkat sejurus berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
“Penganjuran Asean Monsoon Casting Tournament (Pertandingan Memancing Monsun Asean) bulan depan pasti bakal memeriahkan lagi suasana Tasik Kenyir.
“Sememangnya saban tahun, tasik ini akan dipenuhi kumpulan pemancing dari seluruh negara bagi menghabiskan cuti tahunan mereka pada musim tengkujuh,” katanya di sini semalam.
Abdul Aziz berkata, musim tengkujuh digemari pemancing kerana populasi ikan seperti sebarau, kelah, temoleh, baung, lampan dan belida di dalam Tasik Kenyir meningkat sepanjang tempoh tersebut.
Tambahnya, selain golongan pemancing, Tasik Kenyir juga sesuai untuk pelancong kategori lain termasuk keluarga pada masa ini.
“Walaupun kita sudah memasuki Monsun Timur Laut, namun cuaca di Terengganu termasuk Tasik Kenyir pada masa ini sangat baik dan cerah.
“Insya-Allah, tiada tandatanda akan berlaku banjir dalam masa terdekat.
“Begitupun, kawasan santuari kelah telah ditutup sejak bulan lalu bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu,” katanya.
Dalam hal ini ujarnya, sebanyak 81 pengusaha rumah bot dan bot laju bersedia memberi perkhidmatan kepada pelancong yang berkunjung ke Tasik Kenyir.
No comments:
Post a Comment