KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terenggganu mengumumkan pembayaran imbuhan sebanyak RM900 yang bakal memberi manfaat kepada hampir 14,000 kakitangan kerajaan di negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran imbuhan tersebut bakal dilaksanakan pada bulan Januari depan.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju untuk memberi bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM150 kepada golongan yang terkesan.
Jelas beliau, ia merangkumi golongan belia, mahasiswa, pengawal keselamatan, petani, penternak, nelayan dan pekerja industri pelancongan.
“Saya mengumumkan pemberian tunai one off (sekali bayar) berjumlah RM200 kepada 25,000 ibu tunggal dan OKU (orang kelainan upaya) bagi menyokong sara hidup golongan tersebut.
“Begitu juga 200 imam dan bilal Skim Mubaligh juga layak menerima bantuan tunai RM200 berkenaan,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, imam dan bilal di negeri tersebut yang tidak mempunyai pendapatan tetap akan dibela dengan penambahan elaun sebanyak RM100 sebulan.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan seramai 170,000 isi rumah daripada golongan Melayu, Cina dan India yang miskin negeri itu layak untuk menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM300 bagi menyambut perayaan masing-masing.
“Program Wad Kelas 3 Percuma di semua hospital kerajaan negeri ini diteruskan dengan peruntukan RM4 juta pada tahun hadapan.
“Bagi memastikan penduduk di negeri ini mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik, program Kad Sejahtera diteruskan dengan penambahan penerima sebanyak 25,000 orang pada tahun hadapan,” katanya
No comments:
Post a Comment