Translate

Wednesday, December 7, 2022

Sekolah Rimba tarik minat belajar anak Orang Asli

HULU TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif membantu menarik minat belajar dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli Kampung Sungai Berua di sini menerusi projek Sekolah Rimba.

 Timbalan Pengarah, Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL), UMT, Prof. Dr. Khatijah Omar berkata, sebuah pondok telah dibina yang menjadi pusat aktiviti pembelajaran santai buat 40 kanak-kanak Orang Asli di kampung berkenaan.

 “Kita mengambil berat isu keciciran persekolahan dalam kalangan murid Orang Asli. 

Projek ini dilaksanakan dengan sokongan dana Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dan individu yang prihatin dengan masa depan Orang Asli,” katanya di Sekolah Rimba Kampung Sungai Berua di sini semalam. 

Terdahulu, sekolah rimba tersebut menerima lawatan daripada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali. 

Khatijah berkata, Sekolah Rimba Kampung Sungai Berua turut memberi fokus terhadap kemahiran membaca, menulis dan mengira yang masih menjadi kekangan buat murid Orang Asli terutama mereka yang berada di sekolah rendah. 

Tambah beliau, pihaknya telah merangka 20 slot pembelajaran santai dalam tempoh dua tahun bagi menarik minat golongan sasaran untuk mencintai ilmu. 

“Antara pengisian slot pembelajaran berkenaan adalah hutan ini milik kita, pasar borong, jom masuk hutan, menyanyi bersama, mencari harta karun dan sesi bercerita,” katanya. 

Khatijah berkata, pihaknya berharap kewujudan Sekolah Rimba dapat menyokong pembelajaran formal anak-anak Orang Asli terbabit di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua di sini.

No comments:

Post a Comment