Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN, AZLI ADLAN dan ROHANA ISMAIL
PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir di negeri-negeri Pantai Timur semakin meningkat berikutan hujan lebat berterusan, selain fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku sehingga Rabu ini.
Di Temerloh, Pahang, kejadian banjir besar yang menenggelamkan Mentakab tahun lalu membuatkan penduduk di daerah itu resah kerana bimbang kejadian sama berulang kembali tahun ini.
Kejadian banjir yang mula berlaku di Kampung Batu Kapor walaupun dalam keadaan hujan tidak lebat dan tidak berterusan membuatkan tiada siapa dapat menjangka kejadian banjir kali ini sekaligus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Penghulu Mukim Mentakab 1, Mohammad Sharif Kassim berkata, keadaan banjir pada tahun ini sememangnya tidak dapat dijangka kerana tanpa hujan lebat dan berterusan, menyaksikan air mula naik bermula di Kampung Batu Kapur.
Justeru katanya, persediaan rapi dan pemindahan awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan sebagai persediaan sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Kali ini memang payah jangka, kerana pada tahun lalu hujan agak lebat. Kali ini hujan tidak lebat tetapi air masih bertahan.
“Mungkin air dari Raub dan lain-lain kawasan yang turun ke sini, jadi memang susah hendak jangkakan akan berlaku banjir besar atau tidak. Kita berharap hujan tidak lebat pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.
Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 375 orang melibatkan 106 keluarga setakat pukul 3 petang semalam.
Katanya, kesemua mangsa daripada tiga daerah iaitu Temerloh, Lipis dan Bera di tempatkan di empat PPS. “Dua PPS dibuka di Lipis iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit yang menempatkan 52 mangsa dan PPS Masjid Beletik yang menempatkan 27 mangsa.
“Di Temerloh, seramai 250 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, manakala di Bera, seramai 17 mangsa ditempatkan di PPS SK Lubuk Kulit,” katanya di sini semalam.
Menurut Che Adam, pada masa ini, pihaknya bersama pelbagai agensi lain melakukan pemantauan berterusan dan bersedia memindahkan mangsa-mangsa banjir sekiranya air naik mendadak. Katanya, pemindahan berjalan baik, malah pengurusan mangsa-mangsa banjir di PPS juga adalah baik dengan kesemua mangsa mendapat bantuan sewajarnya.
Di Terengganu pula, sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan banjir yang mula melanda Terengganu sejak semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 326 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di semua PPS terlibat.
“Ia membabitkan empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.
“Kuala Nerus paling teruk terjejas dengan 198 mangsa ditempatkan di dua PPS, manakala 97 mangsa pula berada di dua PPS di Kuala Terengganu,” katanya.
Sementara itu, di Rantau Panjang, Kelantan, seramai 37 mangsa banjir daripada 10 buah keluarga dipindahkan ke PPS SK Gual To’ Deh semalam selepas paras air Sungai Golok melepasi tahap bahaya iaitu 9.3 meter.
Keadaan itu menyebabkan dua buah kampung iaitu Kampung Gual To’Deh dan Bendang Perol dinaiki air. Penduduk di Kampung Tersang pula kini berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk berpindah pada bila-bila masa berikutan paras meningkat.
No comments:
Post a Comment