Translate

Friday, December 2, 2022

Guru agama terlantar angkara strok

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang guru mengaji al-Quran yang sebelum ini gigih mendidik anak bangsa menjadi Muslim dan Muslimah sejati sejak puluhan tahun lalu kini terlantar uzur di rumahnya di Kampung Pela, Ajil di sini.

Kalsom Harun, 70, hanya mampu terbaring di atas katil akibat serangan strok yang telah melumpuhkan anggota kanan badannya sejak lima tahun lalu.

Anak bongsunya, Norasila Mohd. Noor, 35, berkata, tahap kesihatan ibunya yang turut menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

“Dahulu rumah kami penuh dengan anak-anak murid ibu (Kalsom) yang belajar mengaji, malah dia juga aktif menyertai majlis tilawah al-Quran peringkat daerah dan negeri.

“Kini ibu sudah tidak berdaya, tambah membimbangkan saya apabila kaki dan belakang badannya kerap melecet serta mengalami masalah kulit kerana baring terlalu lama,” katanya di rumah mereka di Kampung Pela, Ajil di sini baru-baru ini.

Norasila berkata, masalah ter­sebut amat merisaukannya kerana bimbang luka akibat melecet akan bertukar lebih teruk kerana ibunya menghidap diabetes.

Ujarnya, dia perlu menukar kain pelapik tilam sebanyak tiga kali sehari selain kerap mengelap belakang ibunya bagi mengelakkan masalah kulit tersebut bertambah kronik.

“Ibu saya juga hanya boleh minum susu khas selain memakai lampin pakai buang. ­Syukur kami menerima bantuan daripada ­Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

“Kami juga menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Norasila berkata, suaminya yang menyara keluarga dengan mengambil upah memotong pokok cuma berpendapatan purata RM700 sebulan.

Dia memberitahu, empat anak­nya yang berusia antara 9 hingga 17 tahun masih bersekolah.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang mene­rusi akaun Kalsom bernombor 1199541100042533 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Norasila di talian 013-527 6122.

No comments:

Post a Comment