Translate

Saturday, December 17, 2022

Mayat bekas imam terjatuh kolam udang dijumpai

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Mayat bekas imam yang terjatuh ke dalam kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam telah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mayat Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku di sini dijumpai pada pukul 10.54 pagi.

Beliau berkata, mayat lelaki warga emas itu ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke Sungai Fikri yang bersambung dengan kolam udang terbabit.

“Pasukan mencari dan menyelamat telah menjumpai mayat mangsa tersangkut pada rimbunan pokok nipah yang terdapat di tebing sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.

Afandi berkata, mayat Zakaria telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Zakaria yang mengalami masalah pendengaran dikhuatiri terjatuh ke dalam kolam udang terbabit ketika sedang menjala ikan pada pukul 7 malam.

Insiden lelaki warga emas terbabit tergelincir dari tebing kolam udang terbabit disaksikan beberapa penduduk kampung sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment