Translate

Saturday, December 31, 2022

Kekal di PPS, banjir mungkin berulang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di seluruh negara dinasihatkan agar tidak pulang lagi ke rumah masing-masing pada masa terdekat.

Mereka sebaliknya disaran kekal di pusat pemindahan sementara (PPS) sekurang-kurangnya sehingga Ahad ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berdasarkan Jabatan Meterologi Malaysia (MET), kemuncak hujan lebat pada gelombang kedua banjir dijangka akan turun pada lusa.

“(Pada masa sama, fenomena) air pasang besar juga paling kemuncak pada 25 Disember ini.

“Nasihat kita, walaupun (banjir) sudah surut, jangan balik (rumah) dulu. Kita takut (berlaku) gelombang kedua yang akan menyebabkan banjir semula,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di sini hari ini.

Mohamad berkata, risiko banjir tetap ada walaupun hujan mungkin tidak turun di penempatan mangsa terlibat yang terletak di kawasan hilir sungai seperti Manir pada masa ini.

Jelas beliau, ini kerana sekiranya berlaku hujan di hulu, ia akan bakal meningkatkan paras sungai sebelum melimpahi kawasan hilir berkenaan.

Kosmo! hari ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua agensi terlibat bersiap siaga untuk menghadapi gelombang kedua banjir sehingga Rabu depan. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment