Translate

Sunday, December 25, 2022

10 jam balik rumah kembali ke PPS sebab air naik semula

KUALA TERENGGANU – Tidak sampai 10 jam pulang ke rumah, sebahagian 73 penduduk terpaksa kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu di sini semalam.

Mereka yang mendaftar keluar pada pukul 1 tengah hari kelmarin pulang semula ke PPS berkenaan pada awal pagi semalam berikutan taman perumahan kembali dilanda banjir. 

Seorang penduduk, Mohd. Sani Muda, 52, yang menetap di Taman Desa Setia di sini berkata, senario banjir berulang itu sudah diramal kerana berlaku setiap tahun.

 “Sudah 10 tahun rumah kami dinaiki air menjadikan keluarga kami bagaikan ‘penghuni tetap’ PPS SK Atas Tol setiap kali musim tengkujuh. 

“Banjir berulang sebab sistem perparitan tidak dinaik taraf selain pembangunan kawasan sekitar yang tidak sistematik,” katanya ketika ditemui di PPS SK Atas Tol di sini semalam. 

Mohd. Sani berkata, sistem perparitan di taman perumahannya dan sekitar tidak mampu menampung aliran hujan lebat dan air pasang besar.

 Tambahnya, ia diburukkan lagi dengan sikap ambil mudah pemaju taman perumahan baharu yang gemar menambun tanah. 

“Ia menjadikan kawasan penduduk sedia ada lebih rendah dan lebih terdedah dengan banjir,” katanya. Seorang lagi penduduk, Rohani Omar, 59, juga mengakui sistem perparitan yang tidak efisien punca kawasan perumahannya di Kampung Bukit di sini turut dilanda banjir saban tahun. 

“Lima tahun berturut-turut rumah saya dinaiki banjir, kerugian akibat kerosakan perabot dan peralatan elektrik sudah mencecah ribuan ringgit. 

“Saya rayu kerajaan negeri Terengganu dan pihak berkuasa tempatan ambil cakna dengar keluhan kami untuk menaik taraf sistem perparitan dengan segera,” katanya.

No comments:

Post a Comment