Translate

Monday, December 19, 2022

Bantuan kewangan Maidam untuk pelajar ke SBP

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bercadang untuk menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar negeri tersebut yang layak terpilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP). 

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, bantuan persekolahan sebanyak RM500 kepada semua pelajar tanpa mengira sosio ekonomi keluarga tersebut sebahagian daripada agihan zakat bagi kategori asnaf fisabilillah. 

“Sebelum ini, kita memberikan ‘hadiah’ bantuan kewangan antara RM800 hingga RM1,000 kepada semua pelajar (Islam) Terengganu yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma. 

“Bagi memperkasa pendidikan dalam kalangan anak negeri ini, Maidam bercadang untuk memperluas bantuan kepada pelajar SBP pula,” katanya selepas merasmikan kursus umrah anjuran Amcare Agency yang merupakan agensi kutipan zakat korporat lantikan Maidam di sini semalam. 

Shaikh Harun berkata, kertas cadangan pemberian bantuan pendidikan kepada pelajar memasuki SBP telah disiapkan dan hanya menunggu kelulusan. 

Tambahnya, setiap tahun Maidam memperuntukkan RM40 juta bagi agihan zakat untuk asnaf fisabilillah bagi memperkasakan lagi pendidikan di Terengganu. 

“Strategi Maidam adalah mahu membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah orang Islam negeri ini menerusi pendidikan kepada anak mereka. 

“Harapan kita sekurang-kurangnya 80 peratus anak Terengganu layak memasuki institusi pengajian tinggi,” katanya. 

Dalam pada itu, Shaikh Harun optimis Maidam mampu mengutip zakat sebanyak RM240 juta menjelang akhir tahun ini. 

Jelas beliau, setakat ini RM170 juta pungutan zakat pelbagai kategori telah berjaya dikutip.

No comments:

Post a Comment