KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memohon maaf ekoran tindakannya ke luar negara ketika negeri ini dilanda musibah banjir besar sejak Ahad lalu.
Beliau juga kesal tidak dapat bersama rakyat yang sedang menderita terutama sepanjang tempoh ktitikal banjir besar iaitu pada Isnin hingga Rabu lalu.
“Saya mohon jutaan kemaafan kepada mangsa (banjir) dan rakyat Terengganu. Saya faham tidak boleh memberikan apa juga alasan (tentang) ketiadaan saya.
“Saya juga faham apa juga penjelasan, ia tidak akan memberi apa-apa makna kepada rakyat Terengganu,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan ramai rakyat Terengganu yang menjadi mangsa banjir tertanya-tanya kelibat Ahmad Samsuri yang kali terakhir dilihat berada di negeri ini pada 11 Disember lalu.
Difahamkan beliau bercuti bersama keluarganya di New Zealand sebelum berjanji akan pulang segera setelah menerima kecaman ramai.
Ahmad Samsuri menjelaskan keputusannya ke luar negara baru-baru ini dibuat kerana menyangkakan banjir gelombang pertama di Terengganu sudah semakin pulih.
Jelas beliau, pada waktu itu, berlaku trend penurunan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dan langsung tidak menyangka ia kembali memburuk mulai 17 Disember lalu.
“Saya ada turun bertemu mangsa banjir pada peringkat awal iaitu 9 dan 10 Disember lalu. Saya tetap teliti suasana banjir (di Terengganu) setiap masa.
“Sebarang kekurangan dan kelemahan di pihak kerajaan negeri, saya mengambil memohon maaf daripada mangsa. Kita akan cuba baiki pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment