Translate

Monday, December 19, 2022

300 kawasan berisiko banjir di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU – Sebanyak 300 kawasan di seluruh Terengganu disenaraikan sebagai titik panas atau ‘hotspot’ berlakunya bencana banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, ia membabitkan lapan daerah itu Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kuala Nerus, Besut dan Setiu. 

Beliau berkata, sebanyak 37 lokasi di kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat. “Kita mempunyai 833 pegawai dan anggota seluruh negeri. 

"Kekuatan ini bersama aset serta logistik untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa sudah memadai bagi situasi banjir sekarang di Terengganu. 

 “Semua kekuatan telah siap siaga bagi hadapi sebarang kemungkinan. Rondaan rutin juga dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya ketika meninjau keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Kemat di sini semalam. 

Dalam perkembangan berkaitan, Md. Hilman turut memaklumkan sebanyak tiga kes lemas sudah direkodkan di Terengganu sepanjang musim tengkujuh kali ini bermula November lalu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa ambil cakna tentang keselamatan ahli keluarga masing-masing dan diingatkan tidak menjadikan banjir sebagai satu pesta. 

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, mangsa banjir di negeri ini hanya tinggal 37 orang. 

Ujarnya, kesemua mangsa itu kini ditempatkan di sebuah PPS Balai Raya Kampung Kemat, Hulu Terengganu.

No comments:

Post a Comment