KUALA TERENGGANU – Gara-gara mengugut mahu menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, seorang juruteknik penyaman udara menerima padah selepas dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood memerintahkan demikian selepas tertuduh, Wan Azuan W. Ismail, 29, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau memutuskan agar tertuduh menjalani hukuman di Penjara Marang dari tarikh tangkapan iaitu pada 15 Oktober lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap bekas teman wanitanya.
Dia didakwa menghubungi wanita berusia 22 tahun berkenaan sebelum mengugut mahu menyebarkan gambar bogel mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Tok Adis, Kuala Ibai di sini pada pukul 7.48 pagi, 25 Januari lalu.
Wan Azuan didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment