Translate

Monday, December 26, 2016

Terengganu hantar skuad wanita ke MHL

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BUAT julung-julung kalinya, Terengganu akan menghantar pasukan hoki wanita untuk menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2017 yang bakal bermula bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, pembentukan skuad baharu bagi saingan MHL itu adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain hoki wanita negeri, sekali gus menimba pengalaman serta menunjukkan bakat masing-masing di pentas kompetitif.

“Sudah tiba masanya kita menghantar pasukan hoki wanita untuk bersaing dengan kelab-kelab besar yang kebanyakan dari Kuala Lumpur dalam MHL.

“Apatah lagi, skuad hoki lelaki iaitu Pasukan Hoki Terengganu (THT) kini semakin mantap selepas muncul juara Liga Premier dan keseluruhan tiga tahun berturut-turut,” kata Rozi kepada pemberita di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­ge­ri Telemong merasmikan program Berkhatan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri Telemong di Sekolah Kebangsaan Bukit Ge­muroh, Kuala Be­rang, Hulu Terengganu.

Rozi berkata, skuad hoki wanita itu akan dianggotai seratus peratus anak tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada atlet Sukan Malaysia dan pelajar daripada projek hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Setiu.

Menurut beliau, skuad hoki wanita Terengganu itu giat membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan sulung liga yang bermula Januari depan.
“Sebagai permulaan, kita menyasarkan skuad hoki wanita ini dapat mencapai ke­dudukan sekurang-kurang empat pasukan teratas liga.

“Sekiranya mereka menunjukkan komitmen dan prestasi memberangsangkan, tidak mustahil mereka dapat menandingi THT pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment