Translate

Thursday, December 8, 2016

2 pencari kayu mati ditimpa pokok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Dua pencari kayu maut selepas khemah sementara tempat mereka berteduh dipercayai dihempap pokok di Bukit Layat, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Kejadian yang menimpa Khairullah Samad, 22, dan Mohd. Zuki Ismail, 39, disedari beberapa pencari kayu lain pukul 2 petang.

Abang Khairullah, Mahassan, 59, berkata, dia mengetahui nasib menimpa adik bongsunya dan Zuki pada pukul 3 petang.

“Adik saya dan rakannya memasuki hutan Bukit Layat, Kuala Nerus untuk mencari kayu bagi membuat perabot kelmarin (Jumaat lalu).

“Dia bekerja mencari kayu di hutan berkenaan sejak lebih setahun lalu dan bermalam sekurang-kurangnya dua malam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bukit Larat di sini semalam.

Mahassan berkata, dia difahamkan khemah sementara yang dibina Khairullah dan Zuki dihempap pokok yang tumbang dipukul ribut.

Dia berkata, kedua-dua mangsa dipercayai sedang berehat di dalam khemah sementara itu.

Khairullah berasal dari Kampung Bukit Layat manakala Mohd. Zuki menetap di Kampung Bintang dekat sini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Izani Zakaria berkata, sembilan anggota dari balai bomba dan penyelamat telah pergi ke lokasi terbabit dengan menaiki sebuah bot.

“Usaha untuk membawa keluar kedua-dua mangsa dari kawasan hutan itu sedang diusahakan.

“Perjalanan ke lokasi terbabit memakan masa kira-kira dua jam dengan menaiki bot dan berjalan kaki dari Kampung Bukit Layat di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment