KUALA TERENGGANU – Pencari udang yang hilang secara misteri selama 13 hari sebelum dijumpai duduk di bawah pokok rengas di tebing Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong Atap Zin di sini Khamis lalu mendakwa dia terjatuh ke dalam sebuah lubang berhampiran pohon itu.
Menceritakan semula pengalamannya, Muhamad Anuar Elias, 34, mendakwa, sebelum terjatuh ke dalam lubang itu, dia terdengar suara merdu yang memanggil-manggilnya dari arah pokok rengas tersebut.
“Waktu itu, saya sedang berbaring di dalam pondok yang terletak tidak jauh dari pokok itu. Saya seolah-olah terpukau dengan suara merdu tersebut dan mengikut arah suara itu sebelum terjatuh ke dalam lubang di bawah pokok rengas.
“Sejurus itu, saya pengsan dan apabila tersedar, saya rasa seperti berada bersendirian di sebuah pulau yang tidak diketahui tempatnya,” dakwanya ketika ditemui di Wad Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Turut menemani Anuar di hospital ialah ibunya, Aishah Noh, 53. Anuar mengalami luka-luka pada beberapa anggota badan terutama di kedua-dua telapak tangan kini semakin sihat dan mula mengingati kejadian yang berlaku ke atas dirinya.
Dakwa Anuar lagi, dia mula sedar berada di dalam sebuah lubang berhampiran pokok rengas itu ketika pasukan keselamatan dan penduduk kampung memanggil namanya dalam operasi mencari dan menyelamat.
Bagaimanapun, ceritanya, dia tidak dapat membalas panggilan tersebut kerana mulutnya seolah-olah terkunci dan pergerakannya pula terbatas.
“Saya tidak pasti berapa kedalaman lubang tersebut tetapi saya cuma nampak sedikit cahaya samar-samar seperti kunang-kunang.
“Walaupun tidak berdaya, saya gagahkan juga merangkak perlahan-lahan sehingga berjaya keluar dari lubang tersebut.
“Sebaik nampak ada kelibat orang di tebing sungai, saya cuba menjerit sekuat-kuatnya untuk meminta pertolongan,” katanya.
Sejurus diselamatkan, katanya, dia berasakan hanya berada di dalam lubang tersebut selama dua hari. Namun, kata Anuar, ibunya memberitahu bahawa dia sudah kehilangan selama 13 hari menyebabkannya berasa terkejut.
Menurutnya, sepanjang berada di dalam lubang itu dia tidak menjamah sebarang makanan. Anuar berkata, disebabkan terlalu lapar, perkara pertama yang diminta selepas diselamatkan oleh rakannya, Mohd. Hamdan Mohd. Daud, 38, ialah makanan.
Kosmo! semalam melaporkan Anuar yang hilang secara misteri selama 13 hari ditemui dalam keadaan lemah di bawah pokok rengas di tebing Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong Atap Zin, Khamis lalu.
Sebelum ini, dia dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat sedang tidur di sebuah pondok kira-kira 100 meter dari pokok rengas itu pada pukul 3 pagi, 27 November lalu.
No comments:
Post a Comment