Translate

Saturday, December 3, 2016

Pengedar pil kuda paling dikehendaki diberkas

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh dipercayai pengedar pil kuda paling dikehendaki di daerah ini berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Mengabang Lekor, Batu Rakit dekat sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari tersebut, suspek berusia 25 tahun berjaya ditahan ketika cuba menyorok di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab. Rahman berkata, lelaki tersebut telah cuba dijejak polis sejak awal bulan ini kerana disyaki terlibat aktif dalam pengedaran pil kuda di daerah ini.

“Dia dikesan menjual pil kuda terbabit dalam bentuk kandang. Setiap kandang mengandungi 200 biji pil kuda.

“Setelah melakukan risikan selama beberapa minggu, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di Mengabang Lekor, Batu Rakit,” katanya selepas menyaksikan majlis serah tugas Timbalan Ketua Polis negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Rosli berkata, anggota polis terlibat bertindak merempuh pintu rumah tersebut selepas suspek enggan memberi kerjasama.

Menurut beliau, suspek kemudiannya berjaya ditahan sewaktu cuba menyorok di dalam sebuah bilik di rumah itu.

“Suspek yang disoal siasat kemudiannya menunjukkan tiga peket plastik berwarna biru yang mengandungi 576 biji pil berwarna merah dan hijau yang disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pil seberat 62.63 gram dan dianggarkan bernilai RM5,760 itu disorokkan di dalam pembesar suara yang diletakkan di tepi dinding bilik berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment