KUALA NERUS – Gara-gara mandi laut pada musim tengkujuh, dua remaja lelaki yang hilang ketika mandi di Pantai Seberang Takir di sini semalam ditemui mati lemas.
Kehilangan Mohd. Mujahid Mohd. Zuni dan Ahmad Baihaqi Nor Shariman yang kedua-duanya berusia 13 tahun disedari penduduk kampung pada pukul 5.46 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Che Saari Abdullah berkata, sebelum kejadian terdapat empat remaja dari Taman Premint Perdana di sini turun ke laut untuk mandi pantai.
Bagaimanapun, menurut beliau, ketika empat sekawan itu sedang mandi, dua daripada remaja itu hilang dibawa arus deras laut.
“Seramai 19 anggota termasuk penyelam skuba bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.
“Mayat Mohd. Mujahid ditemui oleh anggota penyelam skuba kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 7.10 malam.
“Mayat Ahmad Baihaqi ditemui pada pukul 10.30 malam,” kata beliau di sini semalam.
Che Saari berkata, mayat kedua-dua remaja itu dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment