Translate

Thursday, December 1, 2016

Pengalaman berharga peserta bersama penduduk kampung

PROGRAM Pewaris Muda anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di tiga buah kampung di mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini memberi pengalaman berharga kepada 120 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi.
Salah seorang peserta, Mohamad Annuar Mohd. Noor, 20, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau berkata, dia amat terpesona dengan gaya kehidupan masyarakat di Terengganu yang masih utuh mengamalkan adat-adat ketimuran.

Annuar berkata, dia amat terkesan ketika menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada beberapa buah keluarga yang kurang berkemampuan menerusi aktiviti ‘Titisan Kasih’.

“Hubungan antara penduduk kampung sangat akrab dan mereka saling menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing,” kata pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Ukur Tanah yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Seorang lagi peserta, Anis Huraimah Mat Bahari, 19, dari Universiti Malaysia Terengganu berkata, layanan baik daripada kedua-dua ibu bapa angkatnya, Samsudin Abdul Rahman, 61, dan Azizah Zakaria, 51, banyak menyentuh hatinya.

“Mereka melayan saya bagaikan anak sendiri sehinggakan saya berasa seperti berada bersama keluarga sendiri,” katanya.
Lydia Henry Gerang, 22, dari Kolej Universiti Bestari, Setiu pula teruja dengan pengalaman baharu melakukan aktiviti mengemping dan membuat laksa Terengganu secara tradisional.

“Laksa Terengganu yang dimakan dengan kuah lemak agak berbeza dan unik berbanding laksa yang pernah saya makan sebelum ini seperti laksa Sarawak dan laksa Pulau Pinang.

“Saya juga gemar dengan makanan tradisional Terengganu lain terutama keropok lekor,” kata pelajar yang berasal dari Sibu, Sarawak itu.

No comments:

Post a Comment