Translate

Tuesday, December 13, 2016

Kes HIV seks rambang meningkat di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Trend penularan HIV dan AIDS disebabkan risiko seksual meningkat mendadak di Terengganu dengan 57 kes baharu direkodkan pada tahun lalu.

Kes jangkitan HIV disebabkan perlakuan seks rambang termasuk heteroseksual, homoseksual dan biseksual merupakan penyumbang besar sebanyak 34.6 peratus daripada 165 kes baharu penyakit tersebut pada tahun 2015.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, senario itu perlu dipandang serius kerana ia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding hanya 15.6 peratus kes baharu yang direkodkan pada tahun 2010.

“Walaupun mereka yang disahkan HIV positif akibat risiko seksual cuma 9.7 peratus daripada 9,563 penghidap penyakit itu di Terengganu, Jabatan Kesihatan negeri memandang serius kerana ia menunjukkan trend peningkatan sejak tahun 2012.

“Sebanyak 13 kes baharu HIV direkodkan pada tahun lalu juga telah dikenal pasti disebabkan perbuatan homoseksual dan biseksual,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Terengganu di Dataran Kuala Berang di sini semalam. 

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan projek Hulu Terengganu Menuju Sifar HIV menjelang tahun 2020.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, kes jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah suntikan pula menunjukkan trend penurunan kepada 102 kes pada tahun lalu berbanding 292 kes bagi tempoh lima tahun lalu.

“Penurunan itu disumbang oleh kejayaan program pengurangan mudarat dalam kalangan penagih dadah yang menghidap HIV positif menerusi kempen rawatan terapi gantian dan pertukaran jarum serta alat suntikan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment