Translate

Thursday, December 15, 2016

MITI sasar 10 peratus kilang milik PKS bumiputera

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dalam sektor perkilangan kepada 10 peratus menjelang tahun 2020.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, sehingga kini, kadar tersebut hanya enam peratus.

“Sebanyak 37 peratus daripada 645,000 PKS yang terdapat di negara ini terdiri daripada usahawan bumiputera dan hanya enam peratus daripada mereka terlibat dalam sektor perkilangan.

“Ia amat rendah dan MITI menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan usahawan PKS bumiputera dalam sektor perkilangan kepada 10 peratus menjelang tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kilang PRM Foods Marketing Sdn. Bhd. (PRM Foods Marketing) di Rhu Rendang di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Nawi Mohamad dan Pengarah Urusan PRM Foods Marketing, Ramlee Muda.

Ahmad menjelaskan, PRM Foods & Marketing yang dimiliki Ramlee merupakan antara pengeluar produk beras, tepung dan bihun terbesar di Pantai Timur.

Menurut beliau, syarikat yang mencatat perolehan tahunan sebanyak RM27 juta itu juga mencapai penarafan empat bintang dan berada di kedudukan kelima PKS terbaik negara.

“PRM Foods & Marketing sudah tiga kali tersenarai antara 50 PKS terbaik tanah air bermula dengan kedudukan ke-16 dan kini berada pada tangga kelima pada tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment