Translate

Monday, December 12, 2016

Enam maut tayar MPV meletup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD


KEMAMAN – Hasrat 10 sekeluarga yang dalam perjalanan ke Universiti Malaysia Terengganu untuk bertemu ahli keluarga mereka berkecai apabila enam daripadanya maut selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 288.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Chukai di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, salah satu tayar kenderaan pelbagai guna (MPV), Hyundai Starex dipandu Ahmad Nasal Abdul Rahman, 52, dipercayai tiba-tiba meletup sebelum terbabas lalu merempuh tembok jejambat susur keluar Plaza Tol Chukai.
Rempuhan itu menyebabkan dua anak Ahmad Nasal, Quratulnisa, 11, dan Ahmad Nijat, 9, serta abangnya, Ahmad Razif, 63, maut.
Turut terbunuh isteri Razif, Pauziyah Awang, 56, serta cucu mereka, Sofea Adriana Shahruddin, 7, di lokasi kejadian.
Isteri Ahmad Nasal, Mahani Ngah, 42, pula meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman di sini.
Empat mangsa yang cedera pula ialah Ahmad Nasal dan tiga anaknya, Ahmad Shakir, 12, Ahmad Mukriz,3, dan Quratul Ain, 14.

Difahamkan, kesemua mangsa yang berasal dari Seksyen 17, Shah Alam, Selangor menghadiri majlis kenduri  di  Felda Jengka, Pahang sebelum bertolak ke Kuala Terengganu.

Seorang saksi, Siti Nazirah Embong, 28, berkata, sewaktu kejadian, dia memandu bersebelahan kenderaan mangsa. 

“Saya yang memandu di laluan kanan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat sebelum mendapati MPV Hyundai Starex yang dinaiki mereka terbabas merempuh tembok jejantas di pembahagi jalan.

“Selepas itu, kenderaan tersebut berpusing sebanyak empat kali hingga enjinnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terbakar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Siti Nazirah berkata, dia juga ternampak tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu.

Beberapa saksi di lokasi juga tidak dapat menahan kesedihan selepas Ahmad Nasal yang memangku mayat anaknya, Ahmad Nijat menangis sambil meminta maaf berulang kali.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normanshah Din berkata, kesemua mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, empat mangsa yang cedera pula dirawat di ICU hospital sama.

No comments:

Post a Comment