Translate

Saturday, December 10, 2016

Pemuda disorok bawah pokok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pencari udang yang hilang secara misteri selama 13 hari ditemui dalam keadaan lemah longlai dengan beberapa kesan luka di bawah pokok rengas di tebing Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong Atap Zin di sini kelmarin.

Sewaktu ditemui oleh seorang rakannya pada pukul 7.45 malam, Muhamad Anuar Elias, 34, sedang duduk di atas akar pokok rengas yang dikeli­lingi semak-samun.

Lokasi pencari udang itu ditemui hanya kira-kira 100 meter dari sebuah pondok yang menjadi tempat terakhir dia dilihat penduduk kampung sebelum ghaib secara tiba-tiba pada 27 November lalu.

Lelaki berasal dari Kampung Datuk Amar di sini dan masih bujang itu dijumpai oleh Mohd. Hamdan Mohd Daud, 38, yang ketika itu sedang menjala udang di tebing Sungai Terengganu, tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui.
Menceritakan semula pengalamannya, Mohd. Hamdan berkata, sewaktu menjala udang, dia tiba-tiba mendengar suara sayup-sayup seorang lelaki meminta pertolongan dari arah pokok rengas terbabit.

“Mula-mula saya tidak hiraukan suara tersebut kerana ingat ia cuma mainan perasaan apatah lagi waktu itu baru lepas Maghrib.

“Namun, oleh sebab perasaan ingin tahu yang kuat, saya pergi juga ke arah pokok rengas tersebut dan alangkah terperanjatnya apabila mendapati yang meminta pertolongan itu rupa-rupanya Anuar yang hilang hampir dua minggu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mohd. Hamdan berkata, sewaktu ditemui, Anuar kelihatan sangat tidak bermaya dan mengalami luka-luka di beberapa anggota badan terutama pada kedua-dua belah telapak tangan dan kaki.

Menurutnya, Anuar masih memakai baju dan seluar hitam iaitu pakaian sama sewaktu kali terakhir kelibatnya ketika sedang tidur di sebuah pondok di tebing Sungai Terengganu pada pukul 3 pagi 27 November lalu.

“Saya kemudian menghantar Anuar pulang ke rumah keluarganya di Kampung Losong Datuk Amar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Walaupun masih terkejut, saya bersyukur kerana kawan saya ditemui selamat. Sebelum ini saya dan orang kampung turut membantu pasukan mencari dan menyelamat mencari Anuar di serata ceruk kampung dan sungai berhampiran,” katanya.
Kata Mohd. Hamdan lagi, pokok rengas yang lokasi Anuar ditemui didakwa berusia puluhan tahun dan dianggap menyeramkan oleh sebahagian penduduk kampung.

“Selain tidak terurus, menurut kata orang lama, pokok itu pernah menjadi lokasi orang untuk membuang saka pada zaman dahulu,” dakwanya.

Malah, ada penduduk kampung percaya Anuar ‘disorok’ oleh sesuatu di bawah pokok rengas itu.

Sementara itu, Anuar yang masih dirawat di hospital dikatakan masih keliru dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.

Anuar mendakwa, dalam tempoh 13 hari tersebut, dia berada di sebuah pulau yang terletak berhampiran perairan Kuala Terengganu.

Namun begitu, ditanya lanjut  mengenai aktivitinya dalam tempoh itu, Anuar tidak dapat mengingati dengan jelas pengalamannya itu.

No comments:

Post a Comment