KUALA TERENGGANU – Pencari udang, Muhamad Anuar Elias terus meminta pelbagai makanan sebaik ditemui duduk di bawah pokok rengas di tebing Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong Atap Zin di sini Jumaat lalu.
Menurut Mohd. Hamdan Mohd. Daud, 38, yang menyelamatkan Anuar, 34, pada pukul 7.45 malam itu, sejurus diselamatkan, dia meminta rakan sekampungnya membeli nasi putih, daging masak merah dan air susu panas.
“Walaupun pelik kerana dia yang saya kenal tidak gemar minum susu dan makan daging masak merah namum saya belikan juga makanan yang diminta di sebuah gerai berhampiran,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Mohd. Hamdan berkata, Anuar kemudian dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Losong Datuk Amar di sini dan dia makan dengan berselera.
Menurutnya, makanan itu disuapkan oleh ibunya, Aishah Noh, 53.
Aishah terpaksa menyuapkan makanan itu kerana kedua-dua telapak tangan Anuar mengalami luka-luka.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Zahari Ngah berkata, pokok rengas yang merupakan lokasi Anuar ditemui dianggap ‘keras’ oleh penduduk kampung sejak sekian lama.
Menurutnya, kawasan persekitaran pokok tersebut didakwa pernah menjadi lokasi untuk membuang ilmu hitam termasuk saka pada zaman dahulu.
“Biasanya penduduk kampung tidak berani untuk mendekati pokok berkenaan.
Lagipun kedudukan sekelilingnya yang bersemak-samun membuatkan laluannya sukar untuk dimasuki dan agak menyeramkan terutama pada waktu malam,” katanya.
No comments:
Post a Comment