KUALA NERUS - Gara-gara mandi laut pada musim tengkujuh, seorang remaja lelaki mati lemas manakala rakannya masih hilang di Pantai Seberang Takir di sini hari ini.
Kehilangan Mohd. Mujahid Mohd. Zuni dan Ahmad Baihaqi Nor Shariman yang kedua-duanya berusia 13 tahun disedari penduduk kampung pada pukul 5.46 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Che Saari Abdullah berkata, siasatan mendapati empat remaja dari Taman Premint Perdana di sini telah mandi di pantai berkenaan namun dua daripada mereka di bawa arus deras laut.
"Seramai 19 anggota termasuk penyelam skuba bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.
"Mayat Mohd. Mujahid ditemui oleh anggota penyelam skuba kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 7.10 malam," katanya ketika pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment