Translate

Wednesday, December 14, 2016

Mahani maklum mahu pulang kampung empat hari sebelum maut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Hajat Mahani Ngah (gambar kecil), 42, untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti persekolahan tidak kesampaian selepas dia dan dua anaknya maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 288.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar ke Chukai, Kemaman kelmarin.

Abang sulung Mahani, Mohd. Azam, 43, berkata, adik keduanya daripada tujuh beradik itu telah memberitahu hasrat tersebut kepada ahli ke­luarganya menerusi panggilan telefon empat hari sebelum kejadian.

“Begitu pun, Mahani tidak memaklumkan kepada kami yang mereka sekeluarga telah bertolak ke rumah orang tua kami di Kampung Durian Guling di sini semalam (kelmarin).

“Tahu-tahu saya dihubungi oleh salah seorang adik saya tentang kemalangan maut yang menimpa Mahani dan ahli keluarganya pada pukul 6 petang semalam (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling di sini semalam.
Jenazah Mahani dan dua anaknya, Quratulnisa, 11, dan Ahmad Nijat, 9, dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan terbabit pada pukul 10.30 pagi semalam.

Kemalangan ngeri pada pukul 5.30 petang itu turut mengorbankan abang ipar Mahani, Ahmad Razif Abdul Rahman, 63, dan isterinya, Pauziyah Awang, 56, serta cucu mereka, Sofea Adriana Shahruddin, 7.

Manakala suami Mahani, Ahmad Nasal Abdul Rahman, 52, yang juga pemandu kereta dan tiga anak mereka yang lain iaitu Quratul Ain, 14, Ahmad Shakir, 12, dan Ahmad Mukriz, 3 pula cedera parah.

Difahamkan keluarga Ahmad Nasal bercuti di Bukit Fraser, Pahang sebelum menghadiri kenduri besan Ahmad Razif yang juga abangnya di Felda Jengka, Pahang. Selepas itu mereka dua keluarga bertolak ke Kuala Terengganu dengan sebuah kereta.

Sementara itu, adik ipar Ahmad Nasal, Ali Embong, 52, memberitahu, Ahmad Nasal dan Ahmad Syakir sedang dirawat di Hospital Kemaman manakala Quratul Ain dan Ahmad Mukriz telah dipindah ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.

Kosmo! semalam melaporkan hasrat 10 sekeluar­ga yang dalam perjalanan ke Universiti Malaysia Terengganu untuk bertemu ahli keluarga mereka berkecai apabila enam daripada mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna, Hyundai Starex yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

No comments:

Post a Comment