Translate

Tuesday, December 6, 2016

Temui ajal ketika cari kaki pancing

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

HULU TERENGGANU – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah ini meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah sewaktu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemancing yang hilang di Hutan Simpan Jerangau Barat berhampiran Sungai Lut, Felda Jerangau Barat, Ajil dekat sini semalam.

Allahyarham Mohd. Syawal Mohd. Yusof, 35, dikatakan tiba-tiba pitam sebelum rebah sewaktu berjalan kaki keluar dari lokasi pencarian pada pukul 12 tengah hari, tidak lama selepas operasi SAR yang masuk hari ketiga selesai.

Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Syawal dan beberapa anggota penyelamat lain sedang berjalan keluar menuju ke pos kawalan operasi menyelamat selepas kira-kira 25 minit mangsa, Satar Ali, 49, berjaya ditemui.

“Sewaktu hampir tiba ke pos kawalan, Mohd. Syawal tiba-tiba rebah ke ta­nah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu di sini dengan menggunakan kenderaan ATV,” katanya.

Jarak di antara tempat Mohd. Satar dijumpai dan lokasi Mohd. Syawal rebah sebelum kira-kira 300 meter.

Menurut Che Adam, pemeriksaan pakar perubatan hospital terbabit mengesahkan Mohd. Syawal yang berasal dari Kampung Mia, Tanjung Putat, Kuala Berang di sini telah meninggal dunia.
“Mohd. Syawal yang meninggalkan seorang balu yang berusia 33 tahun dan dua orang anak berusia lima dan 10 tahun merupakan seorang anggota yang berdedikasi,” ujarnya.

Difahamkan, Mohd. Syawal ada mengadu sakit dada sehari sebelum kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zamri Omar memberitahu, Satar yang hilang ketika memancing bersama empat rakannya di Sungai Lut sejak Rabu lalu telah ditemui pada pukul 11.35 pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum ini, Satar dilaporkan hilang selepas tersasar dari laluan ke sungai terbabit sewaktu mencari umpan pada pukul 11 malam, Rabu lalu.

“Dia ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan di kawasan hutan simpan tersebut.

“Laungan lemahnya untuk meminta tolong didengari rakannya, Sapian Abdul Halim, 39, yang turut serta dalam operasi mencari tersebut,” katanya.
Sementara itu, Sa­pian yang merupakan rakan memancing Satar pada Rabu lalu berkata, dia terdengar suara Satar meminta tolong sewaktu bersama anggota penyelamat lain mencari mangsa.

“Saya tercari-cari suara itu sebelum ternampak Satar yang duduk di atas tanah sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah saya.

“Saya terus meluru kepadanya dan menjerit memaklumkan penemuan Satar tersebut kepada anggota penyelamat yang lain,” katanya.

Jarak lokasi Satar tersesat dengan penempatan terdekat di Felda Jerangau Barat kira-kira 10 kilometer dan 36 kilo­meter dari pekan Kuala Berang di sini.

Sungai Lut merupakan antara lokasi kegemaran kaki pancing tempatan dan merupakan lubuk bagi ikan lampam, baung, tengas dan sebarau.

No comments:

Post a Comment