Translate

Wednesday, December 7, 2016

Pekerja pelantar minyak mati lemas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Keseronokan 23 pekerja pelantar minyak bercuti di Tasik Kenyir dekat sini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas kelmarin.

Mayat Amir Hilmi Azmi, 23, ditemui skuad penyelam bomba pada kedalaman 10 meter di dasar tasik tersebut berhampiran Sungai Kiang dekat sini pada pukul 10.05 pagi semalam iaitu kira-kira 21 jam selepas mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, Amir Hilmi yang berasal dari Kampung Mak Lagam, Kemaman dilaporkan lemas ketika mandi bersama tujuh rakan se­kerjanya pada pukul 1.30 petang kelmarin.

“Sewaktu cuba berenang ke tebing sungai, tiga daripada mereka termasuk mangsa tiba-tiba mengalami kekejangan otot.

“Dua daripada lelaki berkenaan berjaya diselamatkan tetapi malangnya mangsa tenggelam di dalam tasik terbabit,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Perjalanan dari Jeti Pengkalan Gawi ke Sungai Kiang yang terletak di Tasik Kenyir dengan menaiki bot laju memakan masa kira-kira setengah jam.

Mohd. Adli berkata, mayat mangsa ditemui di dasar tasik kira-kira 20 meter dari rumah bot yang mereka naiki sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Wan Ahmad Khusairi Wan Ahmed, 25, yang ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Hulu Terengganu menceritakan, dia telah berenang semula ke rumah bot selepas menyedari tiga rakannya termasuk Amir Hilmi mengalami kekejangan otot.

“Saya bertindak membaling sehelai jaket keselamatan yang kemudiannya dipaut dua rakan kami tidak termasuk Amir Hilmi.

“Salah seorang rakan kami yang menaiki bot fiber cuba menarik tangan mangsa tetapi terlucut sebelum Amir Hilmi tenggelam di dalam tasik,” katanya.

Ceritanya lagi, mereka termasuk mangsa yang bekerja di pelantar minyak di sempadan Malaysia-Thailand sudah lama merancang untuk bercuti di Tasik Kenyir.

“Kami tiba di Tasik Kenyir pada Jumaat lalu dan merancang untuk pulang pada pukul 5 petang semalam (kelmarin).

“Kami merancang melakukan aktiviti memancing di tasik ber­kenaan selepas pulang ke kampung halaman masing-masing pada 20 November lalu selepas 45 hari berada di pelantar minyak,” katanya.

Wan Khusairi berkata, sebelum kejadian, Amir Hilmi begitu bergembira menggoreng cucur manis yang merupakan kegemarannya sebagai sarapan.

No comments:

Post a Comment