Translate

Saturday, December 17, 2016

Budak maut, ibu parah kereta dinaiki rempuh lori

DUNGUN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori lima tan di Kilometer 1 (KM1), Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Che Lijah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang itu, mangsa, Nik Nurul Irdina Nik Azmin me­ninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Dungun (HD) di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemala­ngan itu turut menyebabkan ibu kanak-kanak tersebut, Nurul Shuhada Rani, 27, cedera parah akibat kecederaan pada kepala manakala neneknya, Khatijah Musa, 60, cedera ringan.

“Sewaktu kejadian, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Nurul Shuhada dalam perjalanan ke bandar Dungun dari rumah mereka di Bukit Besi dekat sini.

“Kemalangan berlaku selepas sebuah lori lima tan yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari laluan bertentangan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kereta dinaiki mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ahmad Zailani berkata, rempuhan itu menyebabkan Nurul Shuhada tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala Nik Nurul Irdina yang berada di tempat duduk penum­pang belakang cedera parah.

Menurut beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan Nurul Shuhada yang tersepit.

“Mangsa yang maut dibawa ke HD untuk bedah siasat manakala dua mang­sa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment