Translate

Sunday, December 4, 2016

Trend jangkitan HIV akibat seks rambang di Terengganu meningkat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Trend penularan HIV dan AIDS disebabkan risiko seksual meningkat mendadak di Terengganu dengan 57 kes baru telah direkodkan pada tahun lalu.
Kes jangkitan HIV disebabkan perlakuan seks rambang merangkumi heteroseksual, homoseksual dan biseksual tersebut merupakan 34.6 peratus daripada 165 kes baru penyakit tersebut yang disahkan di negeri ini pada tahun 2015.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, senario itu perlu dipandang serius kerana ia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding hanya 15.6 peratus daripada kes baru yang direkodkan pada tahun 2010.
"Walaupun mereka yang disahkan HIV positif akibat risiko seksual cuma 9.7 peratus daripada 9,563 penghidap penyakit itu di Terengganu, Jabatan Kesihatan negeri memandang serius kerana ia menunjukkan trend peningkatan sejak tahun 2012.
"Sebanyak 13 kes baru HIV yang direkodkan di negeri ini pada tahun lalu juga telah dikenalpasti disebabkan perbuatan hemoseksual dan biseksual," katanya selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat Terengganu di Dataran Kuala Berang di sini hari ini.
Sebaliknya, Mohamad memberitahu, kes jangkitan HIV di kalangan penagih dadah suntikan pula menunjukkan trend penurunan kepada 102 kes pada tahun lalu berbanding 292 kes pada lima tahun lalu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment