Translate

Tuesday, December 6, 2016

Polis tahan lelaki mengamuk mahu ceroboh rumah sepupu

KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang lelaki mengamuk tanpa sebab di rumah sepupunya di Kampung Gerai Tua, Jertih, Besut sebanyak lima kali pada hujung minggu lalu membawa padah apabila dia ditahan polis kelmarin.

Dalam kejadian dari pukul 5 petang Sabtu lalu hingga pukul 8.30 pagi kelmarin, lelaki berusia 41 tahun tersebut turut membawa sebilah pedang sambil mengugut mahu memecah masuk rumah saudaranya itu dengan pelbagai alasan pelik.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rawi berkata, seorang suri rumah yang juga anak saudara kepada suspek mendakwa, lelaki itu telah muncul di depan rumah sepupu wanitanya itu sambil memegang sebilah pedang sejak pukul 5 petang Sabtu lalu.

Beliau berkata, niat suspek mahu memasuki rumah sepupunya itu dihalang oleh wanita berusia 20 tahun tersebut yang bimbang akan keselamatan diri setelah melihat lelaki itu memegang pedang.

“Suspek yang beredar muncul semula dua jam kemudian dan memberitahu mahu mencari individu bernama Mamat di dalam rumah sepupunya itu sebelum beredar.

“Pengadu pelik kerana tiada orang bernama Mamat menghuni rumah tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, begitupun suspek sekali lagi datang ke rumah sepupunya pada pukul 9 malam dengan masih memegang parang.

Menurut beliau, kali ini, lelaki itu telah mengamuk dengan cuba mengumpil bingkai cermin tingkap salah sebuah bilik di dalam rumah tersebut selepas sepupunya yang tinggal bersendirian enggan membuka pintu.

“Selepas itu, suspek gagal mengumpil tingkap beredar namun dia datang semula pada pukul 5.30 pagi semalam (kelmarin). Kali ini percubaannya untuk memecah masuk rumah juga gagal kerana jeriji pintu rumah itu telah dililit dengan rantai bermangga.

“Suspek masih tidak putus asa dan datang semula buat kali kelima dengan masih memegang sebilah pedang sambil mengamuk mahu memasuki rumah tersebut sebelum ditahan beberapa anggota polis dari Balai Polis Jertih di sini,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, suspek masih ditahan untuk mengetahui motif dia berkelakuan pelik terhadap sepupunya itu.

No comments:

Post a Comment