Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila sebahagian wang pencennya berjumlah RM97,933 lesap akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 59 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 8.24 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pesara terbabit telah tertarik dengan tawaran skim pelaburan yang dilihatnya di aplikasi TikTok.
“Mangsa kemudiannya menghubungi dengan suspek yang mengaku kononnya wakil syarikat pengendali skim pelaburan berkenaan menerusi aplikasi Telegram.
“Dia membuat pelaburan sebelum dimaklumkan sudah mendapat keuntungan tidak lama selepas itu,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, lelaki tersebut bagaimanapun dimaklumkan kononnya keuntungan diperolehi terbabit hanya dapat dikeluarkan sekiranya dia membuat sedikit pembayaran lagi.
Beliau berkata, pesara berkenaan yang bersangka baik telah mengikut arahan tersebut sehingga dia membuat pembayaran keseluruhan RM97,933.
“Pembayaran itu dilunaskan menerusi 11 transaksi di beberapa akaun bank berbeza diberi suspek antara pukul 3.28 petang, 20 Mei lalu hingga 11.56 pagi, semalam tetapi mangsa tetap tidak menerima walau sesen pun keuntungan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment