MARANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan mencuri pasir silika selepas menyerbu lokasi itu di Kampung Jambu Bongkok di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu, pelbagai jentera yang digunakan bernilai keseluruhan RM1.8 juta telah dirampas.
Dua lelaki masing-masing berusia 33 dan 37 tahun turut ditahan ketika sedang leka memindahkan pasir silika terbabit.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan, suspek berumur 33 tahun sedang mengendalikan jengkaut untuk memasukkan pasir silika ke dalam sebuah treler yang dipandu suspek kedua.
Katanya, mereka kemudian ditahan selepas gagal mengemukakan permit sah.
“Suspek pertama mengaku pasir disyaki jenis silika yang diisi ke dalam lori itu mahu dihantar untuk diproses di sebuah kilang di Kuantan, Pahang.
“Dia juga mendakwa cuma berperanan sebagai pengendali jengkaut yang menerima upah RM150 sehari daripada pemandu asal,” katanya semalam.
Rampasan melibatkan dua jengkaut dan sebuah treler dan barang rampasan serta kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Pejabat Tanah Daerah Marang untuk tindakan lanjut.
Pasir silika mengandungi silikon dioksida yang tinggi dan mempunyai pelbagai kegunaan termasuk dalam industri pembuatan kaca, pembinaan, penapisan air, pembuatan seramik dan alat elektronik serta bahan kimia.

No comments:
Post a Comment