DUNGUN – Tembelang dua lelaki memproses kayu balak yang dicuri dari kawasan hutan simpan terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di sebuah kilang di Kampung Dendang, Jerangau di sini kelmarin.
Penjaga dan pekerja kilang berusia 45 dan 58 tahun itu diberkas dalam serbuan pada pukul 3 petang bersama produk kayu dan peralatan kilang dianggarkan bernilai keseluruhan kirakira RM1.27 juta.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, siasatan awal mengesyaki kilang memproses kayu ini dimiliki seorang lelaki berasal dari Besut.
“Dia disyaki menggaji penduduk tempatan berkenaan bagi pengoperasian kilang tersebut tanpa lesen sah. “Risikan awal mendapati kilang tersebut mendapat bekalan balak daripada pembalak kecil yang menebang pokok secara haram di hutan simpan serta tanah kerajaan dan persendirian,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, urusniaga dibuat secara tunai bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa. Tambahnya, urusan pembelian kayu juga dipercayai dilakukan dengan penglibatkan orang tengah bagi mengelakkan kaitan secara langsung dengan pemilik sebenar kilang itu.
“Sewaktu serbuan, dua suspek gagal mengemukakan dokumen seperti lesen perniagaan dan bukti percukaian kayu yang dimiliki,” katanya.
Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Daerah Dungun bagi membantu siasatan Akta Perhutanan Negara 1984.

No comments:
Post a Comment