KUALA TERENGGANU – Kakitangan perubatan dan sebahagian pesakit gempar selepas pintu kaca Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal ditunggangi lelaki disyaki berada di dalam pengaruh dadah awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 3 pagi itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC tersebut cedera ringan akibat rempuhan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 28 tahun tersebut dikatakan hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca Unit Kecemasan HSNZ berkenaan.
“Rempuhan itu menyebabkan pintu kaca tersebut pecah, manakala penunggang motosikal itu pula cedera ringan pada bahagian tangan kanan dan kiri.
“Dia kemudiannya menerima rawatan di unit kecemasan hospital itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu tular gambar di media sosial kononnya pintu kaca Unit Kecemasan HNSZ berkenaan dirempuh penunggang motosikal yang khayal perisa vape, magic mushroom.
Azli berkata, ujian urin kemudiannya mendapati lelaki tersebut sebenarnya positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, suspek masih ditahan di dalam wad HSNZ sebelum tindakan lanjut akan diambil. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment