KUALA NERUS – Pendaratan ikan tempatan dijangka merosot sedikit menjelang hujung tahun ini berikutan segelintir pengusaha bot nelayan laut dalam atau C2 terpaksa menghentikan operasi sementara ekoran lonjakan harga bahan api global pada masa ini.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pendaratan ikan tempatan oleh nelayan C2 masing-masing telah berkurangan 3,000 dan 4,000 tan metrik pada Mac dan April lalu.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas, sebanyak 14.25 peratus atau 57 daripada 400 bot nelayan C2 tempatan memilih ‘bercuti’ sementara daripada menangkap ikan kerana tidak mampu menanggung kenaikan kos operasi.
“Nelayan C2 tidak menerima subsidi bahan api daripada kerajaan berbanding kategori lain iaitu kategori A, B dan C.
“Segelintir (nelayan C2) tidak mampu beroperasi (sementara) akibat kenaikan kos operasi ekoran kawasan operasi mereka jauh iaitu 30 batu nautika (55.56 kilometer),” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Laut Sedunia peringkat kebangsaan di Pulau Redang, di sini semalam.
Katanya, Jabatan Perikanan memahami masalah pengusaha bot nelayan C2 itu dan memberi jaminan tidak akan mengambil apa-apa tindakan perundangan termasuk penggantungan lesen terhadap golongan tersebut.
Beliau berharap krisis tenaga ekoran konflik Asia Barat berakhir segera agar industri nelayan tempatan kembali pulih.
“Walaupun menjangkakan pengeluaran ikan tempatan akan sedikit merosot akibat masalah dihadapi nelayan C2 berkenaan, saya percaya bekalan hasil laut negara tetap stabil.
“Kekurangan itu ditampung nelayan-nelayan kategori lain dan sumber subsektor akuakultur (ikan dalam sangkar),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Adnan berkata, hanya 13,300 metrik tan ikan didaratkan nelayan C2 pada Mac lalu berbanding 16,200 metrik tan dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Ujarnya, pendaratan ikan nelayan C2 pada April lalu pula menurun 18,000 metrik tan berbanding 21,000 metrik tan dalam tempoh sama tahun lalu.

No comments:
Post a Comment