Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Operator Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) diingatkan agar tidak menjual produk yang tarikh luputnya kurang enam bulan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penjualan produk termasuk makanan yang telah tamat atau hampir tarikh luput di PJRM.
“Kita sudah ingatkan semua operator PJRM negeri ini agar hanya menjual produk yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh luputnya. Mereka bertanggungjawab menyediakan barang keperluan yang bukan sahaja lebih murah daripada pasaran malah berkualiti dan selamat kepada pengguna,” katanya selepas memantau salah sebuah PJRM di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu juga secara proaktif sentiasa melakukan pemeriksaan stok bekalan setiap operator PJRM.
Beliau berkata, pemeriksaan secara berkala itu bukan sahaja dilakukan di tapak PJRM malah di premis penyimpanan operator terbabit.
“Pengguna yang terbeli produk tamat atau hampir tarikh luput di tapak PJRM juga disaran melaporkan kepada pihak kami bagi tindakan susulan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment