Translate

Tuesday, June 16, 2026

‘Sekolah’ Rohingya Kompleks Telaga Mengkudu beroperasi secara sah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Majlis Daerah Marang (MDM) mengesahkan lot premis di Kompleks Telaga Mengkudu, Bukit Payong di sini telah disewakan kepada Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan
bagi dijadikan pusat pembelajaran bagi kanak-kanak Rohingya sejak tahun 2020.

Jurucakap Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MDM berkata, Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan merupakan badan bukan kerajaan (NGO) sah yang diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Premis di Kompleks Telaga Mengkudu itu disewa sebagai pusat pendidikan bagi komuniti pelarian berdaftar di bawah UNHCR.

“Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan juga mendapat dana sokongan melaksanakan program pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal daripada UNHCR,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan sebuah lagi premis yang dipercayai dijadikan pusat pembelajaran kanak-kanak etnik Rohingya di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, di sini menutup operasi sejak 7 Jun lalu akibat ditularkan media sosial.

Sebahagian besar penduduk setempat kurang senang dengan kewujudan ‘sekolah’ Rohingya terbabit yang didakwa kerap menimbulkan salah faham yang menganggu ketenteraman dan kebersihan setempat.

Jurucakap Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MDM berkata, berdasarkan pemantauan, NGO terbabit menjalankan aktiviti pembelajaran asas serta pembangunan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak pelarian terbabit.

Beliau berkata, sepanjang tempoh hampir enam tahun itu juga, semua prosedur, syarat dan peraturan ditetapkan juga didapati sentiasa dipatuhi.

“MDM ingin menegaskan penyewaan premis ini (sebagai ‘sekolah’ Rohingya) tidak melibatkan sebarang pengiktirafan status kewarganegaraan, hak bermastautin atau pemberian keistimewaan khas terhadap mana-mana individu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment