DUNGUN-Pemandu kenderaan utiliti sukan jenis Honda CR-V yang didakwa membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam kemalangan pada bulan lalu ditahan sebulan lagi di Hospital Permai, Johor Bahru.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman memerintahkan demikian bagi membolehkan laporan psikiatri tertuduh, Norizan Ismail, 49, dilengkapkan.
Perintah terhadap ibu tiga anak itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azizan Abdullah memberitahu, keputusan melanjutkan proses itu dipohon pengurusan Hospital Permai.
Ini kerana, tertuduh yang ditahan di hospital berkenaan sejak 15 Oktober lalu tidak memiliki rekod pemeriksaan mental sebelum ini.
Norizan didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.
Kesalahan dilakukan di Jalan Pantal berhampiran UITM Dungun pada pukul 730 malam, 9 Oktober lalu. Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Disember ini. Suri rumah itu turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh Muhammad Ammar Danish Muhammad Ridzuan, 20, yang cedera dalam kemalangan sama.
Pada 11 Oktober lalu, Kosmо! melaporkan tiga pelajar UITM Dungun maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas dua buah motosikal yang ditunggang mereka dirempuh Honda HR-V yang dipandu seorang wanita.
Sewaktu kemalangan, wanita tersebut dikatakan memandu kenderaan itu tanpa pengetahuan suami serta anak bong sunya sewaktu mereka sedangmenunaikan solat maghrib.
No comments:
Post a Comment